Tuesday 15 January 2013

Tangisan Keinsafan Pembersih Dosa


Bangun dan sujud pada tengah malam  adalah amalan Rasulullah serta para
sahabat. 
Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang 
amat penyedih. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh 
mendengar ayat Allah.
Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari  perhitungan. 
Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang  terus-menerus mengalir 
mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak.  
Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan
membersih daripada kekotoran dosa,  manakala berlebihan tertawa dan 
bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan
mengeruhkan kesuciannya.  
Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.

A) DIA TIDAK TAHU QADA DAN QADAR ATAS DIRINYA.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "... Maka, demi Allah yang tidak 
ada Tuhan  selain-Nya, sesungguhnya  seseorang mengerjakan amal ahli
syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan
sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun 
mengerjakan amal  ahli  neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan 
seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga  tidak  ada jarak di 
antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya 
ketentuan tulisan lalu  dia pun  mengerjakan amalan ahli  syurga  maka
masuklah dia ke dalamnya." (HR al-Bukhari dan Muslim).
Siapakah yang boleh menjamin nama  kita termasuk dalam  senarai ahli
syurga?  Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri 
sendiri?  Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan 
harap kepada  Allah. Caranya dengan banyak  menangis dan memohon 
pertolongan-Nya. 

B) MENANGISLAH KERANA INGAT TERHADAP MALAM PERTAMA DI
ALAM KUBUR.
Siapakah yang menjadi  teman untuk seorang pengantin yang memakai 
helaian kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi 
kepergian orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, 
isteri dan saudara  mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang 
menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit,
tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.  
Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana
sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada 
kepedihan seksa ini. Di mana bacaan  al-Quran, zikir dan kelembutan lidah
yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?  

C) MENANGIS KERANA INGATKAN HARI PERHITUNGAN.
Sabda Rasulullah SAW : "Orang yang muflis di kalangan umatku  ialah: 
Seseorang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa
dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan,
menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan 
kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan  orang  tadi
sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, 
maka akan diambil  ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya
dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (HR Muslim) 
Ingatlah keaiban diri yang terlalu  banyak untuk dihitung,  jangan sibuk 
menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat 
menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan. 
Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdirilah tanpa diketahui oleh
manusia yang asyik bermimpi, sujud dan bacalah doa yang panjang bersama 
bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar.
Amalan ini  menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta 
menjadi ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman
ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat 
dan zikrullah.  

No comments:

Post a Comment